
APRIL 2025 – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah menandatangani satu perjanjian penyelidikan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi melaksanakan kajian bertajuk “ILMU HIKMAH: SUATU ANALISIS HUKUM SYARAK”.
Kerjasama ini merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuhkan peranan USAS sebagai institusi pengajian tinggi Islam yang ditadbir berlandaskan falsafah Rahmatan Lil ‘Alamin. USAS sentiasa komited untuk memperluas sumbangan dalam bidang akademik, penyelidikan dan kemasyarakatan menerusi jalinan kolaborasi dengan institusi dan organisasi luar.
Melalui pelantikan rasmi ini, USAS akan menjalankan penyelidikan, menyediakan laporan serta menyerahkan hasil kajian kepada pihak JAIPk, selaras dengan syarat-syarat yang telah dipersetujui dalam perjanjian.
JAIPk sebagai institusi kerajaan negeri yang memfokuskan kepada pemantapan perkhidmatan hal ehwal Islam, turut melihat kerjasama ini sebagai satu usaha penting dalam memperkukuh pelaksanaan maqasid syariah di negeri Perak, terutamanya dalam aspek pendidikan, pembudayaan dan pengawalan berasaskan hukum syarak.
USAS percaya bahawa kajian ini akan memberi nilai tambah bukan sahaja kepada dasar pentadbiran JAIPk, malah menyumbang kepada pembangunan keilmuan Islam serta manfaat kepada masyarakat khaira ummah.
USAS akan terus komited dalam memainkan peranan aktif menyokong agenda negeri dan negara melalui penyelidikan yang berkualiti, berimpak tinggi dan berteraskan prinsip Islam yang rahmatan lil ‘alamin.