APRIL 2025 – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah menerima kunjungan hormat daripada wakil Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada 24 April 2025 (Khamis). Delegasi Bank Islam diketuai oleh Mohd Nazri bin Chik, Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan, bersama sembilan pegawai lain dari Ibu Pejabat BIMB dan BIMB Negeri Perak Darul Ridzuan.

Kunjungan ini diadakan bagi tujuan memperkukuh kerjasama strategik antara BIMB dan USAS dalam bidang keusahawanan sosial serta pembangunan komuniti setempat.

Antara agenda utama kunjungan tersebut ialah penyerahan sumbangan zakat wakalah berjumlah RM40,000 kepada pihak USAS untuk tahun 2025. Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada komitmen Bank Islam dalam membantu institusi pendidikan tinggi serta pembangunan komuniti melalui instrumen kewangan Islam.

Selain itu, perbincangan turut diadakan berkaitan cadangan pelantikan USAS sebagai Hub Usahawan iTEKAD BIMB bagi kawasan Utara Perak. Cadangan ini bertujuan menjadikan USAS sebagai pusat latihan dan bimbingan keusahawanan untuk usahawan setempat, khususnya golongan asnaf dan mikro usahawan, sekali gus memanfaatkan kepakaran sedia ada di universiti berkenaan.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen bersama dalam menjalin kerjasama strategik antara sektor kewangan dan institusi pendidikan tinggi ke arah pembangunan sosioekonomi yang mampan. Dengan semangat kolaboratif ini, diharapkan lebih banyak inisiatif dapat dilaksana untuk memperkasa masyarakat dan usahawan tempatan.